Tuesday, April 22, 2008

Isu Royalti Minyak..apa pendapat penduduk Terengganu?

Sebagai seorang rakyat terengganu..saya amat tertarik dengan dua keratan akhbar pada hari ini yang diambil dari dua sumber berbeza iaitu Berita Harian dan Harakah.. sengaja saya masukkan ke dalam blog ini sebagai sumber pembacaan kawan2 terutamanya kawan2 senegeri iaitu dari Terengganu Darul iman..selamat membaca

Wang ihsan bantu majukan Terengganu

Oleh Azman Zakaria dan Shaarani Ismail
Berita Harian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kaedah pemberian wang ihsan oleh Kerajaan Pusat kepada kerajaan Terengganu, berjaya membantu kerajaan negeri berkenaan untuk berjaya selama ini. Perdana Menteri berkata, sudah ada kaedah diwujudkan iaitu melalui pemberian wang ihsan yang banyak membantu kerajaan negeri berkenaan. "Ada satu kaedah yang kita buat... dengan kewujudan wang ihsan, ini sebenarnya membantu Kerajaan Terengganu selama ini untuk berjaya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama merasmikan Dialog Integriti Asean 2008, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kelmarin, yang meminta kerajaan Pusat menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri berkenaan. Wang berkenaan, yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP), diminta supaya diberikan kepada Terengganu bagi membolehkan ia digunakan bagi membiayai pelbagai projek pembangunan untuk rakyat. Ahmad berkata, penyerahan semula hak pengurusan wang royalti minyak sebanyak lima peratus, yang ditarik balik pada 2000 ketika pentadbiran Pas, akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek yang sesuai dengan keperluan tempatan.
Nilai wang royalti minyak itu dianggarkan RM1 bilion setahun. Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 menggantikan bayaran royalti minyak lima peratus kepada Kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan yang disalurkan melalui projek pembangunan dan bukan dibayar kepada kerajaan negeri. Sementara itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menyokong saranan Ahmad yang mahu pengurusan royalti minyak yang dihentikan dan digantikan dengan nama Wang Ihsan dan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) dikembalikan semula kepada kerajaan negeri. Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah, berkata isu yang diketengahkan itu adalah isu rakyat dan didukungi seluruh lapisan masyarakat.
"Daripada maklumat yang kami peroleh, rakyat Sabah dan Sarawak ketika ini menikmati hasil royalti sebanyak lima peratus dan dijangka kedua-dua negeri ini juga akan mendapat tambahan lima peratus lagi dan menjadikan mereka mendapat royalti sebanyak 10 peratus. "Yang menjadi persoalannya, kenapa rakyat Terengganu dinafikan hak mendapat semula royalti sedangkan di antara Terengganu, Sabah dan Sarawak, ketiga-tiganya mempunyai perjanjian serupa," katanya pada sidang media, di Kuala Terengganu. Mohamad Fauzi berkata, apa yang dibangkitkan Ahmad itu sangat jelas kerana ia bertujuan menuntut semula hak rakyat Terengganu dan ia tidak berkaitan dengan politik. "Mampat rasa tidak keterlaluan untuk rakyat Terengganu menuntut pengurusan royalti minyak dikembalikan seperti dinikmati Sabah dan Sarawak kerana Terengganu adalah pengeluar minyak tertinggi negara. "Ini adalah isu lama, matlamat Mampat adalah untuk membantu rakyat Terengganu yang miskin mendapatkan semula hak mereka," katanya.


Royalti minyak: Umno jadikan rakyat Terengganu merana

Suhaimi Taib Tue Apr 22, 08 11:57:55 am MYT
Harakah

Nampaknya Kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional (BN) melancarkan perang terhadap kerajaannya sendiri di Terengganu apabila tidak berhasrat untuk mengembalikan semula wang royalti peroleum dan gas sebagaimana perjanjian kerajaan itu dengan Petronas pada 22 Mac 1975 yang sepatutnya diterima secara tunai sebanyak lima peratus setahun. -->-->
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam dilaporkan menafikan dakwaan Menteri Besar Terengganu bahawa wang royalti minyak yang disalurkan melalui kaedah "wang ehsan" tidak banyak membantu rakyat negeri itu kerana projek-projek pembangunan ditentukan di peringkat pusat.
"Ada satu kaedah yang telah kita buat dengan kewujudan wang ehsan ini, dan ini sebenarnya membantu rakyat negeri Terengganu selama ini," kata Abdullah di sidang media selepas menyampaikan ucap utama pada Dialog Integriti Asean 2008 hari semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Dato' Ahmad Said semalam bahawa sejak wang ehsan diperkenalkan pada 2000, semua projek yang dilaksanakan tidak merujuk kerajaan negeri dan tidak mengambil kira keperluan rakyat.
Perlu diingat tidak kurang RM1 bilion Terengganu sepatutnya memperolehi royalti minyak setahun memandangkan kenaikan mendadak harga minyak dunia, lebih USD100 setong sekarang.
Persoalannya apa yang dimeteraikan antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas itu adalah perjanjian untuk mengeluarkan lima peratus wang royalti minyak kepada negeri itu dan wang itu pula diserahkan kepada kerajaan tersebut diurus tadbir dan dimasukkan dalam Wang Disatukan sekaligus menjadi hak kerajaan dan rakyat negeri secara undang-undang.
Dengan tindakan tersebut Perdana Menteri tidak mengiktiraf lagi perjanjian tersebut walaupun beliau tidak mengatakan perjanjian itu batal. Tetapi dengan tindak tanduknya yang serupa dengan bekas perdana menteri lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad seolah-olah perjanjian itu terbatal dengan sendirinya.
Dengan kerajaan sendiri pun, Abdullah masih tidak terbuka dan mengiktiraf perjanjian pemberian royalti petroleum dan gas untuk negeri Terengganu sedangkan di negeri lain seperi Sabah dan Sarawak, perjanjian itu masih berjalan seperti dahulu tanpa gangguan .
Malah difahamkan kedua-dua negeri berkenaan akan menerima lima peratus lagi royalti petroleum dan gas tidak lama lagi.
Apakah beliau berdendam dengan Ahmad atau dengan pihak lain di Terengganu, tidaklah diketahui.
Apakah Abdullah mahu melihat demonstrasi besar-besaran rakyat berlaku di Terengganu, menuntut royalti petroleum dan gas di kembalikan kepada kerajaan Terengganu? Rasanya tidak sukar ia dibuat jika ada penggeraknya apa lagi jika disokong kerajaan negeri sendiri.
Pokoknya kerajaan di bawah Dato' Ahmad dan rakyat Terengganu tidak boleh menerima keputusan Kerajaan Pusat yang masih enggan menyerahkan semula wang royalti itu.
Apa yang dinyatakan oleh Abdullah hanya satu alasan yang dibuat-buat untuk membolehkan tindakannya tidak mengembalikan wang rakyat itu.
Apa motif sebenarnya tindakan Abdulah di sebalik keenggannya menyerah wang itu? Mungkin umum boleh membaca dan membuat andaian. Pertama projek yang dilaksanakan dengan menggunakan wang tersebut masih belum selesai spenuhnya.
Ini termasuk Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu bernilai kira-kira RM300 juta, Monsoon Cup yang perbelanjaan sebanyak kira-kira RM300 juta lagi. Ia mempunyai kontrak selama lapan tahun mulai 2005.
Selain itu projek Tamadun Ilmu dan Masjid Hadhari masing-masing di Besut bernilai beratus-ratus juta ringgit, semuanya menerima peruntukan dari wang tersebut yang kini bertukar menjadi Dana Khas (sebelum ini di pangil Wang Ehsan).
Kedua, orang yang bekerja keras mendokong projek berkenaan, Dato' Seri Idris Jusoh, sekarang tidak lagi menajdi menteri besar. Idris adalah orang Abdullah manakala Ahmad menteri besar yang diperkenan oleh istana dan rakyat.
Justeru kesinambungannya tidak ada. Lagi pun jika wang itu dikembalikan sebagai royalti, dipercayai Abdullah dan kroninya tidak dapat lagi menggunakan wang itu untuk meneruskan projek yang dirancang dengan bebas tanpa sebarang auditan sebagaimana dilaporkan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
Tidak diaudit bererti penyalahgunaan wang berkenaan tidak akan terdedah kepada umum dengan mudah. Justeru, kroni dan keluarga Abdullah yang dipercayai terbabit dengan projek raksaksa di Terengganu itu begitu mudah mendapat habuan tanpa memperdulikan samada ia bertentangan dengan peraturan atau tidak.
Dipercayai inilah untungnya bagi Abdullah dan anak menantunya, Khairy Jamaluddin dan kroni mereka Patrick Lim mengekalkan Terenganu tidak menerima wang royalti petroleum.
Sekarang siapa yang mahu dipersalahkan? Umno Terengganu di bawah Idris Jusoh sebagai Pengerusi Perhubunganya perlu dipersalahkan. Merekalah dikatakan menjadi punca royalti petroleum bertukar menjadi Dana Khas.
Inilah akibatnya apabila keangkuhan dan dendam kesumat bertakhta dalam politik negara. Kepentingan jangka panjang untuk rakyat terengganu diketepikan begitu sahaja kerana dendam itu dan permusuhan Umno terhadap kerajaan PAS Terengganu sedikit masa lalu.
Sekarang siapa yang susah? Rakyat dan Kerajaan Terengganu di bawah Dato' Ahmad yang susah.
Penulis amat tersinggung dengan tindakan politik tidak berperikemanusiaan ini.

Kedua-dua petikan ini telah saya baca..dan anda sebagai pembaca haruslah menilai dengan sebaiknya.

No comments: